Dalam memenuhi keperluan semasa masyarakat negara pada hari ini, kita memerlukan tanah-tanah yang sesuai dan bersifat dinamik untuk dibangunkan. Bagaimanapun yang menjadi masalah atau ‘stumbling block’ kepada pembangunan ini adalah untuk memperolehi tanah-tanah yang sesuai kerana tanah dianggap sebagai ‘scarce commodity’ yang tidak boleh ditokok tambah melainkan melalui proses tebusguna tanah. Walaubagaimanapun keluasan yang boleh ditebusguna juga adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Pelantar Benua 1966 Semakan 1972 (Continental Shelf Act 1966 Revised 1972). Sekiranya sesuatu pembangunan hendak dilaksanakan secara berterusan, tanah-tanah yang sesuai ini perlu diperolehi. Bagaimanakah caranya untuk kita memperolehi tanahtanah yang memenuhi kriteria tersebut? Mengikut Perlembagaan Persekutuan kita memerlukan satu undang-undang khusus yang mampu mengimbangi hak pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu proses pembangunan hartanah iaitu undang-undang yang dapat memberi keadilan kepada pemilik-pemilik tanah yang akan terjejas jika tanah mereka diambil untuk tujuan pembangunan. Dalam memenuhi kehendak pembangunan, kepentingan awam perlu mengatasi keperluan persendirian. Dengan itu adalah perlu untuk kita meneliti secara terperinci perundangan yang diperuntukkan untuk pelaksanaan sesuatu pembangunan yang diperlukan.
Sumber : www.instun.gov.my